Friday 26 March 2010

PERLUKAH MAKANAN TAMBAHAN?


Pelbagai usaha dilakukan ibu bapa untuk mendapatkan anak cemerlang dalam pelajaran. Ikhtiar mereka bukan sekadar menyediakan kemudahan pembelajaran lengkap termasuk menghantar ke kelas tuition atau mengikuti program bimbingan pendidikan semata-mata.

Kesungguhan mereka melebihi segala-galanya termasuk menyediakan makanan tembahan sebagai nutrien yang dikatakan dapat meningkatkan kecerdasan minda kanak-kanak.

Berbincang mengenai pengambilan makanan tambahan, tanpa disedari tidak semua pelajar memerlukannya. Pengambilan diet yang seimbang, sihat dan mengikut gizi seperti disyorkan Panduan Diet Malaysia sudah memadai.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Zaitun Yassin berkata pada asasnya, pelajar tidak perlu mengambil makanan tambahan untuk meningkatkan kecerdasan.

Katanya pengambilan makanan teratur mengikut keperluan nutrien disarankan berdasarkan peringkat umur sudah mencukupi dan boleh meningkatkan perkembangan tubuh serta prestasi kognitif.

“ Kajian mendapati, pelajar yang mengambil sarapan memiliki daya tumpuan dan pencapaian lebih baik berbanding rakan mereka yang tidak berbuat demikian. Selain bertenaga, pelajar berkenaan mempunyai kekuatan serta memiliki daya tahan melakukan aktiviti fizikal.

“ Tidak ada satu makanan yang boleh menjadikan seseorang lebih cerdik atau lebih bijak. Jangan mudah tertipu dengan dakwaan menyatakan makanan tambahan atau kesihatan tertentu boleh menjadikan seseorang lebih pintar” katanya yang ditemui SKOR di Serdang, baru-baru ini.

Dr Zaitun berkata, setakat ini belum ada kajian saintifik membuktikan makanan tambahan membantu merangsang otak  dan daya ingatan seperti didakwa pengeluar produk. Kebanyakan bukti yang dilapurkan hanya berasaskan testimonial pengguna semata-mata.

Beliau berkata, walaupun khasiat makanan tambahan tertentu sudah didokumenkan, namun banyak lagi produk yang berada di pasaran masih belum terbukti keberkesanannya.

Katanya, jika sesuatu produk itu “ terlalu bagus didengar” pengguna mesti bijak membuat pilihan. Dapatkan nasehat pakar pemakanan atau pakar perubatan mengenainya.

“ Pakar hanya menasihat seseorang perlu mengambil makanan tambahan jika mereka berada dalam proses pemulihan penyakit, mengandung, menyusukan bayi dan lanjut usia serta selera makan berkurangan” katanya.

Dr Zaitun berkata, perlu diingatkan bahawa nutrien tambahan tidak boleh diambil sebagai gantian pengambilan sajian harian. Makanan tambahan tidak mengandungi komponen lain yang penting seperti yang terkandung dalam makanan. Pengambilan makanan tambahan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kesan toksik.

Sesetengah makanan tambahan pula, kata beliau mengandungi bahan aktif yang membawa kesai biologikal dalam tubuh dan tidak selamat. Jika diambil dalam keadaan tertentu, dikhuatiri ia boleh menyebabkan komplikasi lain.

“Pengambilan makanan yang disyorkan dalam Islam seperti madu, kismis, buah zaitun dan kurma digalakkan. Ia mangandungi khasiat serta kandungan nutrien tinggi bagi memberi manfaat kepada kesihatan

“ Walau masih kurang bukti secara saintifik, namun pengambilan makanan berkenaan boleh meningkatkan kecerdasan otak dan daya ingatan, tetapi ilmu Allah sangat luas dan hanya Dia Yang Maha Mengetahui” katanya.

OLEH: Basir Zahrom
BERITA HARIAN
SKOR BIL 423
24-30 MARCH 2010

No comments: