Wednesday 3 March 2010

KERETA vs BADAN MANUSIA

Rencana ini adalah semata-mata satu andaian dan tidak melibatkan sebarang perbandingan pertembungan fizikal di antara kereta dengan badan manusia yang menakutkan, di mana ternyata sekali tubuh badan manusia tidak akan menjangkaui kereta. Sebaliknya rencana ini merujuk kepada perbezaan layanan penjagaan terhadap kedua-dua objek yang kita miliki dan ternyata juga, badan kurang mendapat perhatian, layanan dan penjagaan yang setimpal.

Andaikanlah anda memiliki sebuah kereta seperti yang dibayangkan di atas. Untuk pengetahuan anda, sebuah Lamborghini Diablo GT, berharga lebih RM 2 juta. Terlalu mahal dan mungkin anda tidak layak atau tidak berminat untuk memilikinya, tetapi katakanlah ada seseorang menghadiahkannya kepada anda. Ya, menghadiahkannya kepada anda! Sama seperti badan kita yang tidak ternilai harganya, malah ianya adalah percuma!

Anda telah dikurniakan dan memiliki tubuh badan yang sangat istimewa sejak lahir dan anda memang meyedarinya walaupun anda tidak tidak begitu prihatin.

Dalam hati anda, anda sememangnya faham dan setuju bahawa, walau apa sekali pun keadaannya, anda tidak mungkin mampu memiliki sebuah lagi Lamborghini Diablo GT. Ia umpama badan kita yang tidak dapat ditukar ganti.

Bahan bakar yang unggul adalah agak mahal berbanding dengan bahan bakar buruk. Tapi anda tidak akan mengisi bahan bakar yang tidak berkualiti ke dalam kenderaan ini. Anda faham bahawa sesuatu yang bernilai tinggi seperti ini, seharusnya dijaga sebaik mungkin, agar ia dapat berfungsi dengan lancar sebagaimana yang sepatutnya. Ini sepatutnya sama seperti badan anda.... Oh...sebentar, mungkin tidak. Bahan bakar jenis apakah yang anda isikan ke dalam badan anda? Adakah ia mengandungi terlalu banyak gula, lemak trans, asid dan kekurangan dari segi sayur-sayuran, alkali dan enzim?

Satu perkara yang pasti ialah, anda akan menjaga kereta supaya bersih dan berkilat dan tidak mungkin akan membawa kereta anda yang lawa dan mahal ini ke tempat seperti ltepi laut, kawasan berpasir, mahupun kawasan berlukar yang akan mengancam kebolehfungsian kereta anda. Sistem komponen dan bahagian luaran kereta anda adalah terlalu sensitif dalam menghadapi ancaman yang tidak sepatutnya. Sama juga seperti mana anda jaga badan anda. Sekali lagi, mungkin tidak, Sudah tentu anda berhasrat untuk berhenti merokok, mengurangkan pengambilan minuman beralkohol secepat mungkin.... dan anda juga cuba untuk memperolehi masa tidur dan rehat yang mencukupi, serta cuba mengelakkan diri daripada terdedah kepada sinaran matahari yang berlebihan. Pasti anda akan berbuat demikian kerana anda tahu bahawa badan anda tidak mampu terdedah dan menanggung ancaman luaran ini terlalu lama.

Dalam pada itu, pihak pengilang mengesyorkan anda supaya membelanjakan wang ke atas kereta ini untuk memastikan ia sentiasa dalam imbangan yang betul dengan penukaran minyak, air dan pelicir secara teratur. Pada masa yang sama, mereka juga akan mengingatkan anda bahawa jikalau anda tidak berbuat demikian, ianya akan terkandas terutama pada ketika anda benar-benar memerlukannya. Kereta anda mempunyai jangka hayat yang lebih pendek daripada yang sepatutnya dan anda pasti akan merasa susah hati degan situasi sebegini.

Walaupun kereta anda tidak mahal, anda masih perlu berbelanja untuk penyelenggaraan dan pembaikan, menggunakan bahan bakar yang berkualiti, dan memandu dengan cermat agar ia dapat bertahan lama. Tetapi, berapa ramai daripada kita, yang menjaga badan sebagaimana kita menjaga kereta, dan berfikir tentang masa depannya? Ingat, dalam kedua-dua kes ini, kos penyelenggaraan adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kos pemulihan.

Cuba fikirkan, jika anda tidak menghargai dan menjaga badan anda bermula dari sekarang, bagaimanakah anda akan menikmati kesihatan yang baik sehingga ke akhir hayat.

Source: Australia newsletter, Issue 3 (August 2006)

No comments: